Wednesday, December 24, 2008

Penggunaan Blog

Larangan Kempen Guna Blog Perlu Jelas
KUALA LUMPUR 23 Dis. - Larangan menggunakan blog sebagai kaedah untuk berkempen perlu diperjelaskan dengan lebih terperinci memandangkan pemilik blog terutama di kalangan ahli dan pemimpin UMNO agak ramai pada masa ini.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, perkara itu perlu dinyatakan dengan jelas kerana blog ada kalanya menjadi wadah terbaik bagi meluahkan pandangan mengenai sesuatu isu yang hangat diperkatakan dalam masyarakat di samping membolehkan rakyat mengikuti tindak tanduk dan aktiviti pemimpin mereka.
"Apabila diadakan sidang akhbar, ramai pemimpin yang memberikan maklum balas terhadap isu semasa, contohnya berkaitan naik turun harga barangan dan keesokan harinya komen mereka akan disiarkan dalam media. Jika pemimpin terbabit menulis perkara yang sama dalam blog pula, adakah itu dilihat sebagai berkempen dan boleh dijatuhkan hukuman," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Lembaga Disiplin UMNO memberi amaran kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Ahmad Kuris Mohd. Nor kerana berkempen menggunakan blog semasa pemilihan bahagian yang lalu.
Lembaga Disiplin menyatakan berkempen menggunakan blog itu adalah bertentangan dengan tata etika ahli UMNO.
Tambah Muhammad, jika perkara-perkara yang dipaparkan dalam blog semuanya boleh ditafsirkan sebagai berkempen, pengurusan UMNO perlu mengeluarkan surat meminta semua pemilik blog dalam kalangan ahli dan pemimpin parti menutup blog masing-masing.
Sumber: Utusan Malaysia, 23 Disember 2008

Pengharaman Amalan Yoga Ke Atas Umat Islam

Ingin dikongsi bersama berkaitan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan senaman yoga secara sistematik yang bersifat spiritual kerana bertentangan dengan syariat Islam dan dibimbangi akan menghakis akidah umat Islam kerana senaman tersebut berteraskan agama Hindu.
Namun, Y.A.B. Perdana Menteri telah menjelaskan bahawa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan ini adalah berkaitan dengan masyarakat Islam sahaja dan senaman yoga untuk kesihatan masih boleh diteruskan. Justeru, masyarakat Islam khususnya tidak perlu keliru untuk terus melakukan senaman yoga jika maksud hanya senaman untuk kesihatan. Selain itu, kita harus faham bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengambil kira pelbagai aspek sebelum mengambil keputusan mengharamkan amalan ini.

Tuesday, October 28, 2008

Pekerja Asing dan Pengaliran Wang Keluar

Tahukan anda........

Bahawa pekerja asing di Malaysia telah menghantar pulang sebanyak RM9.124 bilion ke negara asal mereka sejak Januari 2008 hingga akhir Jun 2008. Kerajaan juga menganggarkan sejumlah RM18.1 bilion akan dikirim oleh para pekerja asing ke negara masing-masing sepanjang tahun ini.

Selain itu, sehingga 31 Julai 2008, jumlah pekerja asing adalah seramai 2.1 juta orang dan secara puratanya setiap pekerja asing telah menghantar pulang sebanyak RM720 sebulan. Turut dilaporkan hampir 20 peratus tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada warga asing dan nisbah pekerja di negara ini ialah seorang warga asing bagi setiap 4 pekerja tempatan.

Sumber: Utusan Malaysia, 22 Okt 2008

Friday, October 24, 2008

Kerajaan Tanggung Kos RM50,000 Sehari Biaya 2,000 Banduan Asing

KAJANG 24 Okt. - Kerajaan terpaksa membelanjakan RM50,000 sehari untuk kira-kira 2,000 banduan warga asing yang ditempatkan di penjara seluruh negara. Sehubungan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh telah mencadangkan menghantar kesemua banduan itu untuk menghabiskan tempoh tahanan di negara asal mereka melalui pindaan Akta Penjara.
Utusan

Kes Pelajar Tendang Guru

Memperlihatkan Persoalan Adab Pelajar Dengan Guru
Kes terbaru mengenai pelajar menendang dan menumbuk guru hanya kerana dimarahi kerana tidak menyiapkan kerja sekolah mengejutkan banyak pihak. Jika dahulu, kita tidak pernah membayangkan perkara seperti ini, namun ternyata zaman dan situasi semasa telah banyak merubah senario pendidikan hari ini. Pelbagai persoalan membelenggu diri saya berhubung perkara ini. Apa yang pasti punca-punca bagi masalah ini perlu diteliti.
Menurut pandangan peribadi saya, apa yang paling penting, pelajar tidak harus melupakan batas-batas mereka dengan guru kerana mereka merupakan golongan yang bertanggungjawab membimbing kita untuk menjadi insan yang berketrampilan, berakhlak mulia dan lebih beradab. Generasi muda juga perlu ditanam dengan pelajaran adab dan ihsan dalam diri mereka agar mereka tahu batas-batas tindakan mereka.

Thursday, October 23, 2008

Unit Khas Kendali Rakyat Yang Belum Miliki Kad Pengenalan

Langkah Kerajaan yang akan menubuhkan Unit Khas di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengenal pasti dan mempercepatkan proses pemberian dokumen pengenalan diri kepada warganegara yang tidak mempunyai sebarang dokumen berkenaan termasuk kad pengenalan disambut baik semua pihak. Ia juga diharap dapat menyelesaikan isu-isu tertangguh membabitkan penduduk asal negara ini yang masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri terutama di Sabah dan Sarawak.
Penubuhan Unit ini juga membuktikan Kerajaan memandang serius isu ini. Ia juga akan mengurangkan beban Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam mempercepatkan proses dokumen pengenalan diri kepada kumpulan berkenaan.

Majlis Media Kebangsaan

Majlis Media Kebangsaan Tidak Akan Halang Kebebasan Media

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Cadangan bagi menubuhkan Majlis Media Kebangsaan tidak akan menghalang kebebasan media di negara ini. Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, sebaliknya cadangan itu hanya akan memastikan media sentiasa bertanggungjawab.
Menurutnya, kini banyak negara mempunyai majlis media kerana ia adalah satu cara yang lebih baik untuk mentadbir media masing-masing.
"Beberapa negara maju juga mempunyai Suruhanjaya Aduan Media yang memberi peluang orang ramai membuat aduan apabila berasa difitnah atau dianiaya," katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Kementerian Penerangan, di sini hari ini.
Beliau mengulas pandangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar perlunya ditubuh majlis sedemikian bagi mengenal pasti kelemahan dalam media serta untuk menghasilkan berita atau laporan yang tepat. Tambah Ahmad Shabery, jika majlis itu ditubuhkan, ia akan membantu menangkis tanggapan sesetengah masyarakat terhadap media Kerajaan.
"Ramai menggangap bahawa jika terdapat aduan terhadap media Kerajaan, Kerajaan lambat mengambil tindakan," jelas beliau.
Utusan Malaysia, 23 Okt 2008

Cadangan Kajian Harga Minyak Setiap 14 Hari

Cadangan agar Kerajaan menetapkan satu mekanisme baru untuk mengira dan menilai harga pasaran minyak domestik setiap 14 hari dilihat wajar untuk dilaksanakan. Ini dapat memastikan penurunan harga minyak mentah global dapat dinikmati dengan kadar lebih cepat.
Ini juga memandangkan mekanisme penilaian semula harga pasaran minyak setiap 20 haribulan jelas tidak boleh duguna pakai lagi kerana ia tidak memberi reaksi pantas terhadap pasaran minyak mentah global.

Penurunan Harga Minyak Tidak Menurunkan Harga Barang

Pengumuman Kerajaan menurunkan harga petrol dan diesel untuk kali ke-tiga pada minggu lalu setelah mengalami kenaikan tertinggi pada Jun 2008 tentunya disambut gembira oleh para pengguna di negara ini.
Seiring dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia, Kerajaan telah mengumumkan pelarasan harga minyak sebanyak 3 kali iaitu:
i). Pelarasan harga minyak kali pertama - pada 23 Ogos 2008, di mana harga petrol
dikurangkan sebanyak 15 sen seliter dan 8 sen seliter bagi diesel;
ii). Pelarasan harga minyak kali kedua - pada 25 September 2008, di mana kedua-
dua iaitu petrol dan diesel dikurangkan sebanyak 10 sen seliter; dan
iii). Pelarasan harga minyak kali ketiga - pada 15 Oktober 2008, di mana harga petrol
dikurangkan sebanyak 15 sen seliter dan diesel 20 sen seliter.
Secara keseluruhannya, dalam tempoh tiga bulan, harga petrol telah dikurangkan sebanyak 40 sen dan harga diesel dikurangkan sebanyak 38 sen.
Namun, apa yang dikesalkan adalah harga barangan masih tidak diturunkan seiring dengan penurunan harga minyak walaupun faktor inilah yang dicanang-canangkan peniaga ketika menaikkan harga barangan dahulu.
Dalam hal ini, para peniaga haruslah sedar dan mempunyai tanggungjawab sosial dengan menurunkan harga barang secara sukarela seperti seruan Y.A.B. Perdana Menteri.
Bagi menangani masalah peniaga degil ini, cadangan agar digubal satu akta yang membolehkan hukuman dikenakan kepada mereka juga dilihat wajar. Kerajaan seharusnya menggubal satu akta yang boleh mengawal selia harga kesemua barangan seperti Akta Perdagangan Adil di Britain dan Australia. Melalui akta sperti ini, para peniaga tidak boleh memanipulasi harga barangan yang dijual.
Langkah Kerajaan yang akan mengadakan pertemuan khas dengan wakil pengguna dan peniaga pada pertengahan bulan November 2008 bagi mengenal pasti jenis barangan dan perkhidmatan yang perlu diturunkan harga juga dialu-alukan. Melalui pertemuan ini, Kerajaan juga dilaporkan akan melihat semula keperluan pemberian sunsidi ke atas beberapa jenis barangan yang diberikan sebelum ini.
Walaupun terdapat cadangan agar pengguna memboikot peniaga yang masih degil, namun tindakan ini dilihat bukan langkah bijak dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Justeru, sebagai pengguna, kita hendaklah bijak dalam membuat pilihan dan berbelanja dengan cara berhemah agar kita tidak begitu tertekan dengan kemelut yang dihadapi sekarang ini.
Sumber:
Utusan Malaysia, KOSMO

Tuesday, October 21, 2008

CuCu BuLuH BeToNg

Hai...
Dapatkan maklumat terkini dari sumber Cucu Buluh Bentong:-)