Thursday, October 23, 2008

Majlis Media Kebangsaan

Majlis Media Kebangsaan Tidak Akan Halang Kebebasan Media

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Cadangan bagi menubuhkan Majlis Media Kebangsaan tidak akan menghalang kebebasan media di negara ini. Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, sebaliknya cadangan itu hanya akan memastikan media sentiasa bertanggungjawab.
Menurutnya, kini banyak negara mempunyai majlis media kerana ia adalah satu cara yang lebih baik untuk mentadbir media masing-masing.
"Beberapa negara maju juga mempunyai Suruhanjaya Aduan Media yang memberi peluang orang ramai membuat aduan apabila berasa difitnah atau dianiaya," katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Kementerian Penerangan, di sini hari ini.
Beliau mengulas pandangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar perlunya ditubuh majlis sedemikian bagi mengenal pasti kelemahan dalam media serta untuk menghasilkan berita atau laporan yang tepat. Tambah Ahmad Shabery, jika majlis itu ditubuhkan, ia akan membantu menangkis tanggapan sesetengah masyarakat terhadap media Kerajaan.
"Ramai menggangap bahawa jika terdapat aduan terhadap media Kerajaan, Kerajaan lambat mengambil tindakan," jelas beliau.
Utusan Malaysia, 23 Okt 2008

No comments: