Thursday, October 23, 2008

Penurunan Harga Minyak Tidak Menurunkan Harga Barang

Pengumuman Kerajaan menurunkan harga petrol dan diesel untuk kali ke-tiga pada minggu lalu setelah mengalami kenaikan tertinggi pada Jun 2008 tentunya disambut gembira oleh para pengguna di negara ini.
Seiring dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia, Kerajaan telah mengumumkan pelarasan harga minyak sebanyak 3 kali iaitu:
i). Pelarasan harga minyak kali pertama - pada 23 Ogos 2008, di mana harga petrol
dikurangkan sebanyak 15 sen seliter dan 8 sen seliter bagi diesel;
ii). Pelarasan harga minyak kali kedua - pada 25 September 2008, di mana kedua-
dua iaitu petrol dan diesel dikurangkan sebanyak 10 sen seliter; dan
iii). Pelarasan harga minyak kali ketiga - pada 15 Oktober 2008, di mana harga petrol
dikurangkan sebanyak 15 sen seliter dan diesel 20 sen seliter.
Secara keseluruhannya, dalam tempoh tiga bulan, harga petrol telah dikurangkan sebanyak 40 sen dan harga diesel dikurangkan sebanyak 38 sen.
Namun, apa yang dikesalkan adalah harga barangan masih tidak diturunkan seiring dengan penurunan harga minyak walaupun faktor inilah yang dicanang-canangkan peniaga ketika menaikkan harga barangan dahulu.
Dalam hal ini, para peniaga haruslah sedar dan mempunyai tanggungjawab sosial dengan menurunkan harga barang secara sukarela seperti seruan Y.A.B. Perdana Menteri.
Bagi menangani masalah peniaga degil ini, cadangan agar digubal satu akta yang membolehkan hukuman dikenakan kepada mereka juga dilihat wajar. Kerajaan seharusnya menggubal satu akta yang boleh mengawal selia harga kesemua barangan seperti Akta Perdagangan Adil di Britain dan Australia. Melalui akta sperti ini, para peniaga tidak boleh memanipulasi harga barangan yang dijual.
Langkah Kerajaan yang akan mengadakan pertemuan khas dengan wakil pengguna dan peniaga pada pertengahan bulan November 2008 bagi mengenal pasti jenis barangan dan perkhidmatan yang perlu diturunkan harga juga dialu-alukan. Melalui pertemuan ini, Kerajaan juga dilaporkan akan melihat semula keperluan pemberian sunsidi ke atas beberapa jenis barangan yang diberikan sebelum ini.
Walaupun terdapat cadangan agar pengguna memboikot peniaga yang masih degil, namun tindakan ini dilihat bukan langkah bijak dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Justeru, sebagai pengguna, kita hendaklah bijak dalam membuat pilihan dan berbelanja dengan cara berhemah agar kita tidak begitu tertekan dengan kemelut yang dihadapi sekarang ini.
Sumber:
Utusan Malaysia, KOSMO

No comments: